Thursday 20 March 2014

Tan Sri Dato' Loh Boon Siew

           Tan Sri Dato' Loh Boon Siew (1915-1995) atau dikenali sebagai "Mr Honda" merupakan pengasas Boon Siew Honda. Loh dilahirkan di Hui-An, Daerah Fujian, China. Dia menghabiskan zaman kanak-kanaknya mengumpul najis babi yang berguna sebagai bahan bakar untuk mendapatkan duit.

            Ketika berusia 12 tahun, beliau tiba di Pulau Pinang menaiki sebuah bot kecil dari China. Beliau hanya mampu bertutur dalam bahasa Hokkien. Ketika baru tiba beliau bekerja sebagai pelatih mekanik kereta dengan upah 3 ringgit sebulan.

            Beliau tinggal dalam kuarters pekerja "kolie keng" di 4, Katz Street, Pulau Pinang dan dia menambah pendapatan dengan mengambil upah membasuh bas dengan bayaran 10 sen setiap buah.

            Ketika berusia 18 tahun, Tan Sri membeli 11 unit bas pertamanya dengan menggunakan simpanan 2,000 ringgit. Dia membaiki bas tersebut dan menjualnya dengan harga 12,000 ringgit. Kemudiannya dia membeli 39 unit bas yang lain.

            Pada tahun 1942, kesemua wang hasil keringatnya dirampas oleh tentera penjajah Jepun semasa Perang Dunia ke 2. Tetapi Tan Sri tidak berputus asa, selepas 1945 setelah Jepun kalah, beliau mula menjual basikal dan peralatan motorsikal, kemudian Tan Sri mengembangkan perniagaannya untuk menjual kereta terpakai dan juga bas.

            Pada tahun 1950-an, Tan Sri membuat langkah pertama dalam pembangunan hartanah dengan membina vila di Taman Saw Kit dan Jalan Loh Boon Siew di Pulau Pinang.

            Pada tahun 1958, ketika bercuti di Jepun beliau melihat motosikal Honda Super Cub sangat mendapat sambutan. Dia percaya bahawa mesin berkos rendah pasti akan mendapat pasaran yang meluas di Malaysia yang sedang membangun.

           Beliau mengatur perjumpaan dengan
Mr. Soichiro Honda kerana menyedari potensi besar Honda. Sebagai tanda ikatan kepercayaan dan hormat yang semakin mendalam, Japanese Honda Motor Co Ltd kemudian melantik Boon Siew sebagai pengedar tunggal motorsikal Honda di negara ini pada ketika 50 unit Honda 4-stroke cub dibawa masuk ke Malaysia.




           Beberapa tahun kemudian kilang dibuka di Pulau Pinang bagi memasang Honda Cub dan motosikal Honda telah dinamakan semula sebagai Boon Siew Honda.

          Honda Cub menjadi motosikal paling laris di Malaysia dan Loh Boon Siew sebagai orang pertama membawa masuk motosikal Honda Cub ke Asia Tenggara. Perkataan Kapcai berasal dari Honda Cub yang bermaksud motosikal kecil.




Ciri-ciri keusahawanan Tan Sri Loh Boon Siew
Antara ciri-ciri keusahawanan yang dikenalpasti ada pada Tan Sri yang berjaya menjadikan beliau sebagai seorang usahawan yang berjaya dan amat disegani di Malaysia adalah:


  • Berorientasikan Peluang
            Semasa melakukan lawatan ke Osaka, Jepun pada tahun 1954, Tan Sri terlihat sebuah motorsikal bersaiz kecil atau ‘cub’ yang didapati sesuai untuk dibawa masuk ke Malaysia. Menurut sejarah, Tan Sri sanggup mengejar motorsikal terbabit untuk melihat dengan lebih dekat lagi ciri-ciri motorsikal terbabit. Ini kerana beliau berpendapat bahawa motorsikal jenis Honda tersebut amat sesuai untuk digunakan kerana saiznya yang kecil dan ringan sesuai untuk orang Asia yang rata-rata bersaiz kecil berbanding dengan motorsikal buatan Eropah.
            Pada ketika itulah, Tan Sri dapat melihat motorsikal Honda ‘cub’ sebagai satu peluang bagi beliau untuk dijual di Malaysia. Lantaran itu, Tan Sri telah berjaya mempengaruhi pengeluar motorsikal terbabit iaitu Honda Motor Japan Limited untuk melantik beliau untuk menjadi pengedar tunggal motorsikal Honda di Malaysia.
Dengan ciri orientasi peluang ini telah berjaya menjadikan Tan Sri sebagai usahawan yang berjaya. Kemampuan untuk menghidu peluang yang ada jelas menjadi kelebihan bagi seseorang individu untuk menjadi usahawan yang berjaya.

  •  Kemampuan Untuk Berwawasan
                    Sebagai usahawan yang berjaya, Tan Sri dilihat sebagai seorang yang mempunyai wawasan yang tinggi untuk syarikat yang beliau tubuhkan untuk membawa masuk motorsikal Honda ke Malaysia. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motorsikal yang pertama di Malaysia iaitu Boon Siew Assembly Plant milik Boon Siew Sdn Bhd di Kawasan Perindustrian Mak Mandin, Pulau Pinang. Dengan terbinanya kilang ini pada tahun 1969, motorsikal Honda tidak lagi dipasang di Jepun tetapi ia dipasang di Malaysia seterusnya dapat menjimatkan kos pemasangan dan jualan.

        Dengan terbinanya kilang ini, Boon Siew Sdn Bhd juga telah memperkenalkan beberapa model terbaru motorsikal Honda bermula pada tahun 1971 iaitu model Honda S90Z. Pada hari ini, terdapat pelbagai jenis motorsikal Honda yang berada di pasaran.
Dengan sikap yang berwawasan tinggi inilah yang memacu Tan Sri Loh Boon Siew untuk terus berjaya terutama dalam bidang permotoran. Tidak semua usahawan mempunyai kemampuan untuk melihat ke hadapan seperti Tan Sri. Sikap positif ini senjata utama di dalam usaha beliau untuk terus bergerak maju di dalam industri permotoran Malaysia.

  •  Berkeyakinan Tinggi dan Optimistik
            Walaupun Tan Sri ialah seorang yang buta huruf dan tidak mempunyai latar belakang akademik yang tinggi dan formal, ini tidak bermakna beliau tidak boleh menjadi seorang yang berjaya. Berbekalkan dengan daya ingatan yang kuat dan semangat untuk maju dan berjaya yang tinggi, Tan Sri berjaya untuk memanipulasi kemampuan daya ingatan beliau untuk menjadi seorang yang berjaya. Ini terbukti dengan kejayaan Tan Sri untuk mempengaruhi Honda Motor Limited Japan untuk melantik beliau sebagai pengedar tunggal motorsikal Honda di Malaysia
                Kemampuan beliau untuk mempengaruhi pihak pengurusan Honda Motor Limited Japan ini dilihat sebagai satu kejayaan yang besar bagi rakyat Malaysia. Ini disebabkan bukannya mudah untuk mempengaruhi pihak pengurusan Honda Japan apatah lagi untuk membawa produk keluaran mereka ke negara yang pernah dijajah oleh tentera Jepun. Dengan persepsi rakyat Malaysia yang negative di mana timbul kemungkinan tidak ingin atau tidak mahu membeli barangan keluaran negara yang pernah menjajah di Malaysia iaitu Jepun, sedikit sebanyak tidak menggugat minat Tan Sri untuk menjual motorsikal Honda di Malaysia.
             Berbekalkan dengan keyakinan tinggi yang ada pada Tan Sri terhadap motorsikal Honda ini, jualan keseluruhan motorsikal Honda di Malaysia telah pun menjangkau lebih 2 juta unit sehingga ke hari ini. Sikap yakin untuk berjaya, optimistik dan berfikiran positif inilah yang telah menjadikan Tan Sri seorang usahawan yang berjaya.



  • Mempunyai Tahap Komitmen dan Keinginan Untuk Berjaya Yang Tinggi
              Tan Sri juga dilihat sebagai seorang yang mempunyai tahap komitment yang tinggi di dalam bidang permotoran. Daripada seorang pelatih mekanik pada awal ketibaan beliau di Malaysia sehinggalah beliau berjaya menjadi pengedar tunggal yang sah bagi mengedar dan menjual motorsikal Honda. Komitmen beliau bukan sahaja tertumpu kepada penjualan motorsikal Honda semata-mata tetapi atas dasar minat dan komitmen yang tinggi beliau mendirikan kilang motorsikal yang pertama di Malaysia yang terletak di Mak Mandin pada tahun 1969.
       Untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya seperti Tan Sri Loh Boon Siew, seseorang itu hendaklah mempunyai tahap komitment dan minat yang sangat tinggi terhadap bidang yang diceburi. Dengan komitmen yang tinggi ini, ia dapat membantu individu terbabit untuk menjadi seseorang yang yang berjaya dalam bidang yang diceburi.

  •  Mengambil Risiko Yang Sederhana
                Kami juga mendapati Tan Sri adalah seorang usahawan yang mengambil risiko secara sederhana. Ini dapat dilihat dengan terbinanya kilang motorsikal yang terletak di Mak Mandin. Dengan terbinanya kilang ini, maka jualan dan permintaan terhadap motorsikal dapat dipenuhi secara konsisten.
                 Ini kerana sekiranya berlaku masalah di Negara Jepun, motorsikal Honda masih dapat dikeluar dan dijual kerana ia dibuat di Malaysia sendiri. Ini juga secara tidak langsung dapat mengurangkan kos jualan akibat cukai import yang dikenakan terhadap setiap motorsikal yang diimpot terus dari Jepun.
                Walaupun Boon Siew Sdn Bhd telah berjaya menjadi sebuah syarikat yang terkenal dan disegani di dalam bidang permotoran, Tan Sri mengambil keputusan untuk tidak menyenaraikan Boon Siew Sdn Bhd di Bursa Malaysia. Sehingga hari ini, Boon Siew Sdn Bhd masih lagi menjadi sebuah syarikat Sendirian Berhad. Ini secara tidak langsung dapat menjamin kestabilan syarikat kerana pegangan saham syarikat adalah terhad kepada keluarga Tan Sri atau pihak yang berkepentingan dengan Tan Sri sahaja.

Kesimpulan

              Untuk menjadi seseorang usahawan yang berjaya bukanlah jalan yang mudah untuk dicapai. Seseorang itu haruslah bijak di dalam meramalkan produk yang sesuai untuk dipasarkan. Produk tersebut perlulah bersesuaian dengan faktor sosio-budaya masyarakat setempat. Idea untuk mendapatkan produk yang sesuai untuk dipasarkan juga bukanlah perlu dijanakan melalui proses yang panjang atau sukar, tetapi idea yang timbul secara tiba-tiba juga dapat membantu seseorang itu untuk menjadi usahawan yang berjaya.
           Seperti Tan Sri Loh Boon Siew, idea beliau yang datang secara tiba-tiba semasa berada di Osaka, Jepun itulah yang telah menjadikan beliau seorang usahawan yang berjaya. Dengan konsep “Not to reinvent the wheel” inilah yang telah memudahkan usaha beliau untuk menjadi usahawan yang berjaya. Dengan hanya membawa masuk motorsikal Honda ke Malaysia sebanyak 15 unit sahaya pada peringkat permulaan, ia terus mendapat tempat di hati rakyat Malaysia. Sehingga hari ini, lebih dari 2 juta unit motorsikal Honda berada di atas jalanraya Malaysia.







2 comments:

  1. Good and details infor for sharing, thanks

    ReplyDelete
  2. Wrong headline picture guys.thatbpicture is tan sri lim goh tong,genting group

    ReplyDelete